Thursday 15 December 2011

PROJEK MENANAM KELAPA MATAG


Mulakan menanam dengan bismillah




Masih terasa bahang mentari menyinari hari ini..... Alhamdulillah walaupun letih tapi aku puas.....
InsyaAllah titik peluh yang mengalir moga diberkati Allah.
Amin....

Wednesday 7 December 2011

TEMPAHAN BENIH DAH SAMPAI




Minggu pertama bulan Disember 2011 saya telah menerima benih baka G1 dari En Din diKajang bekas Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Beliau telah membantu saya dalam mendapatkan benih-benih dari baka yang terbaik. Harga sepokok RM 22.00.

Benih dah dapat.... nak kena segerakan tanam.... Pagar pon kena cepat buat. Maklumlah di kawasan ni binatang *a*i tu banyak.

Thursday 1 December 2011

MEMBERSIHKAN KEBUN UNTUK TANAMAN KELAPA MATAG



Saya mula membersihkan kebun untuk menanam Kelapa Matag pada bulan Disember 2011.  Ketika itu kerja-kerja pembersihan saya lakukan dengan tulang empat kerat. Dengan tenaga dan kudrat yang dipinjamkan Allah, Alhamdulillah saya selesai membersihkan kebun seluas setengah ekar.

Friday 22 April 2011

PENANAMAN DAN PENJAGAAN

Penanaman

Penanaman kelapa matag telah mula dikomersilkan di sebuah estet swasta di Perak dengan keluasn sekitar 2,200 hektar semenjak dulu dan mampu mengeluarkan beratus juta biji kelapa setahun. Ladang Jendarata milik United Plantation menanam kelapa ini untuk pengeluaran kelapa segar dan juga merupakan satu-satunya pengeluar anak benih tulen kelapa 'Matag' di Malaysia secara komersil. Jabatan Pertanian juga ada mengeluarkan benih kelapa 'Matag' yang tulen dari beberapa stesen kelapa. Pada satu masa dahulu Ladang Jenderata membekalkan sebanyak 66% daripada jumlah keperluan penanaman kelapa 'Matag' kepada Jabatan Pertanian dalam 'Program Penanaman Semula Kawasan Kelapa'. Pada peringkat awal, kos bagi pembelian anak benih kelapa 'Matag' cuma RM 6.50 sepokok dan kemudian telah meningkat kepada RM 15.00 sepokok 2-4 tahun lalu dan kini pada tahun 2012 telah mencecah kepada RM 22.00 sepokok. Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran yang meningkat dan keadaan cuaca yang banyak hujan menyebabkan peratusan kejayaan untuk mendapatkan anak benih kelapa 'Matag' rendah menyebabkan kos jualan anak benih kelapa ini telah banyak meningkat.
Anak benih tulen merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa 'Matag'. Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih 'Matag' daripada pembekal sah yang mampu menyediakan benih tulen iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja. Walaupun ada nurseri swasta yang mendakwa mempunyai anak benih kelapa matag, ia perlu diawasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45-50% sahaja yang menjadi kelapa matag. Manakala 50% lagi mungkin tidak menjadi kelapa matag tetapi jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain.
Penyediaan anak benih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari pokok varieti 'Tagnanan' (tinggi) dengan pokok varieti 'Malayan Red Drawrf' (MRD) atau 'Malayan Yellow Dwarf' (MYD) yang rendah dan renek. Debunga Tagnanan disembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat. Lazimnya selepas setahun baru akan dapat anak benih matag selepas proses menakai (culling) pokok yang bukan jenis matag.
Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar. Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima. Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman. Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nanas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek, keladi dan sebagainya. Kaedah ini akan memastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah. Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan.

Pembajaan.

Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun keempat atau tahun kelima. Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.

Friday 11 March 2011

KEISTIMEWAAN KELAPA MATAG HIBRID



*   Pokok yang rendah memudahkan kerja pengutipan hasil.
*   Pokok boleh mengeluarkan hasil sehingga usia pokok 60 tahun.
*   Pokok mengeluarkan hasil pada usia 3 1/2 tahun hingga 4 tahun.
*   Mampu mengeluarkan hasil antara 120 - 180 biji sepokok pada tahun ke 5.
*   Mampu mengeluarkan hasil antara 150 - 240 biji sepokok pada tahun ke 6/7.
*   Saiz buah yang lebih besar.
*   Bilangan buah yang lebat iaitu pada usia 5/6 tahun dianggarkan 15 - 25 biji setandan.
*   Pada usia 10 tahun ke atas sepokok boleh menghasilkan sehingga 30 biji setandan.
*   Setahun boleh menghasilkan 16 tandan.
*   Buahnya mengandungi air yang banyak.
*   Isinya yang tebal dan banyak santan.
*   Sabutnya yang nipis.

Friday 11 February 2011

PENYAKIT DAN PEROSAK

Setelah setahun benih Matag ini ditanam terdapat serangan mahluk perosak yang menyerang terutama awal musim hujan.  Masalah-masalah yang dihadapi adalah seperti berikut:

Kumbang Tanduk

Masalah serangan kumbang tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal. Kumbang tanduk yang masuk ke dalam anak pokok yang baru ditanam akan memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran.

Kumbang Jalur Merah

Perosak lain tanaman kelapa seperti kumbang jalur merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakkan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mL/pokok) iaitu cara suntingan batang pokok.

Penyakit Lain

Masalah lain ialah seperti serangan ulat beluncas, ulat pengorek daun (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.

Wednesday 9 February 2011

KELAPA MATAG HIBRID

Kelapa MATAG adalah Kelapa Hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang antara bunga betina Kelapa Rendah MALAYA (MRD atau MYD) dangan kelapa jenis kelapa tinggi TAGNANAN (baka dari Filipina) yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Industri tanaman kelapa di negara kita merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi dalam pembasmian kemisikinan dikalangan pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa jenis Malayan Tall yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000  hektar terutama di beberapa kawasanseperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.  Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang rendah. Bagaimana pun pengenalan jenis kelapa Matag telah membantu mengekalkan penanaman kelapa  di negara kita kerana permintaan kelapa terus meningkat. 

Kelapa MATAG (Cocos nucifera 'Matag') merupakan kultivar kelapa yang disyorkan untuk tanaman di Malaysia oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Kelapa ialah dari keluarga Arecaceae atau keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, daun, dan buahnya iaitu sabut, air kelapa, tempurung dan isinya oleh manusia terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam di kawasan tanah persisir pantai.
Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan varieti 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walaupun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (kurang hampir 10,000 hektar), tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa matag dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.