Friday, 11 February 2011

PENYAKIT DAN PEROSAK

Setelah setahun benih Matag ini ditanam terdapat serangan mahluk perosak yang menyerang terutama awal musim hujan.  Masalah-masalah yang dihadapi adalah seperti berikut:

Kumbang Tanduk

Masalah serangan kumbang tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal. Kumbang tanduk yang masuk ke dalam anak pokok yang baru ditanam akan memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran.

Kumbang Jalur Merah

Perosak lain tanaman kelapa seperti kumbang jalur merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakkan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mL/pokok) iaitu cara suntingan batang pokok.

Penyakit Lain

Masalah lain ialah seperti serangan ulat beluncas, ulat pengorek daun (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.

Wednesday, 9 February 2011

KELAPA MATAG HIBRID

Kelapa MATAG adalah Kelapa Hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang antara bunga betina Kelapa Rendah MALAYA (MRD atau MYD) dangan kelapa jenis kelapa tinggi TAGNANAN (baka dari Filipina) yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Industri tanaman kelapa di negara kita merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi dalam pembasmian kemisikinan dikalangan pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa jenis Malayan Tall yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000  hektar terutama di beberapa kawasanseperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.  Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang rendah. Bagaimana pun pengenalan jenis kelapa Matag telah membantu mengekalkan penanaman kelapa  di negara kita kerana permintaan kelapa terus meningkat. 

Kelapa MATAG (Cocos nucifera 'Matag') merupakan kultivar kelapa yang disyorkan untuk tanaman di Malaysia oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Kelapa ialah dari keluarga Arecaceae atau keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, daun, dan buahnya iaitu sabut, air kelapa, tempurung dan isinya oleh manusia terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam di kawasan tanah persisir pantai.
Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan varieti 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walaupun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (kurang hampir 10,000 hektar), tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa matag dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.